Tuesday 29 November 2011

Senarai usahawan penternakan

1)      Ternakan Itik

Berpegang kepada cogankata Pertanian Adalah Perniagaan, Razak Abdul Malek, 49, mencuba beberapa jenis pertanian bermula dengan ayam kampung daging, lintah dan ikan.

Meskipun pada awalnya dia terlibat dengan sektor pelancongan, namun mengambil keputusan beralih angin tidak mematahkan semangatnya untuk menceburi bidang tersebut .

Bermula dengan syarikat Lia Sari Marketing yang ditubuhkan pada tahun 2007 untuk bergiat dalam jual beli dan mengusahakan pertanian secara komersial, kini Razak mengusahakan ladang ternakan itik daging. Berdasarkan hasil pemerhatian yang dilakukan, Razak kemudiannya mengambil keputusan menternak itik kerana dia suka mencuba sesuatu yang baru dan tidak mempunyai ramai pesaing.

"Saya melihat ternakan itik pedaging Muscovy atau serati yang tidak mempunyai banyak pesaing, saya mengambil keputusan menternak itik," katanya semasa ditemui di ladang ternakan itiknya di Kampung Hulu Lepar, Mukim Gali, Dong, Raub, Pahang. Malah, apa yang lebih membanggakan, menurut perangkaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Raub dan Kuantan buat masa ini, Lia Sari Marketing merupakan penternak terbesar itik pedaging di negeri Pahang. Mendapat khidmat nasihat daripada JPV Raub dan Kuantan, Razak menternak lebih 5,000 ekor itik pedaging di kawasan seluas tujuh ekar.

Mendapatkan benih itik daripada penternak swasta, beliau menternak anak itik berusia dua hari sehingga berusia empat bulan sebelum boleh dijual di pasaran.

Biasanya setiap bulan, beliau membeli antara 1,500 hingga 2,000 ekor anak itik bagi memastikan bekalan itiknya sentiasa ada. Hasil kajian dan pengalaman hampir setahun mengendalikan anak itik, pekerjanya dapat mengurangkan jumlah kematian sehingga kurang 10 peratus setiap kali penghantaran.

Razak berkata, pada hari pertama sampai, anak itik dicelupkan muncungnya ke dalam air sebelum dimasukkan ke dalam kotak asuhan.

Setelah berada dalam kotak asuhan antara tiga hingga lima jam, anak itik diberikan makanan dan minuman yang dicampurkan dengan anti stres yang ditambah dengan vitamin dan dibiarkan selama dua minggu. Pada usia satu hingga dua minggu, anak-anak itik akan ditimbang berat bagi tujuan pemantauan tumbesaran dan menentukan jumlah makanan yang diperlukan.
"Biasanya kuantiti makanan yang diberikan bergantung kepada berat badan anak itik," katanya yang memberikan dedak hitam kepada anak itik.

Kotak asuhan akan dicuci setiap dua hari bagi memastikan kebersihan, kesihatan dan keselamatan anak itik sentiasa terpelihara. Biasanya semasa berusia awal tiga minggu, muncung anak itik akan dipotong atau dikikis bagi mengelakkan mereka memagut antara satu sama lain.
Anak itik yang berusia antara dua hingga tiga minggu akan dilepaskan di reban besar dan lapang bagi memastikan keselesaan dan ruang makanan yang lebih besar.

Di kawasan ini juga terdapat kolam untuk itik berenang bagi menyejukkan badan dan mengurangkan stres. Ternakan itik akan ditempatkan di reban pertama selama 10 hingga 12 minggu sebelum diasingkan di kandang lain. Bagi menjimatkan kos makanan ternakan Razak menggunakan pelet dan dedak serta makanan tambahan seperti hampas soya, kulit roti, kelapa kering dan sayur-sayuran.

Semasa itik berusia antara 14 hingga 16 minggu, ternakan yang sesuai akan diasingkan ke ladang transit bagi memudahkan ditangkap sebelum dikumpulkan di dalam bakul untuk dijual.
Biasanya itik yang ditangkap pada awal subuh hari Khamis atau Jumaat akan dihantar ke pasar-pasar sekitar bandar raya Kuala Lumpur seperti pasar borong lama Selayang, pasar Seri Kembangan, pasar Kajang, pasar Pudu dan pembeli yang datang sendiri ke ladang ternakannya.
Setiap bulan paling minimum, Lia Sari Marketing mampu menjual 1,350 ekor itik daging dan ia mempunyai sebanyak 6,000 ekor itik dalam masa empat bulan atau satu pusingan.

Razak berkata, harga itik yang dijual adalah RM8 sekilogram (kg) dan RM15.00/kg bagi harga runcit itik yang siap sembelih dan dibersihkan. Biasanya terdapat dua kategori itik yang dijual, misalnya bagi jualan di pasar, itik yang diperlukan adalah lebih kurang tiga kg manakala untuk restoran pula empat kg.

Bagi memantapkan lagi operasi perniagaan, Razak bercadang untuk membuka gerai sendiri bagi jualan terus di pasar tani dan pasar malam di Lembah Kelang bagi peringkat permulaan.

2)      Ternakan burung layang-layang

Industri Sarang Burung Layang-Layang hari ini telah mencetuskan satu lagi industri yang berpotensi besar bagi semua usahawan untuk merealisasikan kehidupan mewah selain dari bidang-bidang perniagaan yang lain.

Pada tahun 2004, industri sarang burung layang-layang di Malaysia telah diiktiraf oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai penyumbang kepada tukaran mata wang asing bagi Negara ini. Sehubungan dengan itu, pihak kementerian telah mewujudkan satu Garis Panduan Penternak Burung Layang-Layang untuk semua pihak berkuasa tempatan di peringkat daerah, majlis tempatan dan majlis bandar raya di seluruh negara.

Sebagai tambahan, Jabatan Perkhidmatan Haiwan juga mempunyai garis panduan untuk pembiakkan burung layang-layang. Sarang burung dipercayai kaya dengan kalsium, zat besi, potassium, dan magnesium yang amat berguna kepada kesihatan. Industri burung layang-layang di Malaysia telah menyaksikan lantunan serta lonjakan pertumbuhan dalam tempoh lima tahun ini.

Akan tetapi ianya amat berkurangan di kalangan usahawan bumiputra kerana itulah industri ini disifatkan sebagai industri yang dirahsiakan, ianya telah lama dimonopoli oleh usahawan bukan bumiputra yang melihat potensi kekayaan yang wujud dari bidang ini, mereka sanggup mengeluarkan modal jutaan ringgit untuk dilaburkan. Kebanyakkan rumah-rumah burung dibina di bandar- bandar kecil di mana sumber makanan yang banyak pada tahap pencemaran yang masih rendah.


INDUSTRI ternakan ruminan tempatan masih bergantung kepada import dalam memenuhi keperluan daging negara. Justeru, usaha perlu dipertingkatkan supaya hasrat dan matlamat yang masih terlalu jauh itu dapat dicapai. Dalam industri ternakan kambing, Dasar Kambing Negara yang telah digubal bertujuan meningkatkan pengeluaran daging kambing iaitu meningkatkan populasi asas ternakan kambing mencapai lebih kurang 1.1 juta ekor induk. Perlu kita ingat bahawa ada dua jenis ternakan berlainan iaitu kambing dan juga biri-biri.

Bagi kaedah pertama mendapatkan kambing, kita terpaksa mendapatkan baka dari luar negara terutama Australia pada harga yang tinggi. Ini akan menimbulkan masalah untuk mencapai matlamat 1.1 juta ekor induk kerana harganya mahal sedangkan kita boleh mencari alternatif lain.Pengalaman ini telah dilalui oleh penternak-penternak kaum India yang amat faham tentang keperluan masyarakat Islam yang memerlukan kambing untuk tujuan akikah dan korban.Oleh itu, tanpa kesedaran orang Melayu, mereka beralih daripada ternakan kambing ke ternakan biri-biri kerana ternakan ini mencapai kematangan lebih cepat iaitu setahun berbanding kambing yang memerlukan masa dua tahun.

Selain itu, ternakan biri-biri ini memerlukan kos yang rendah sahaja untuk perubatan dan kos pengeluaran menyeluruh lebih rendah daripada kambing kerana ketahanan daripada serangan penyakit lebih tinggi.

3)      Usahawan susu lembu

ROMPIN 3 April – Pahang bakal menjadi pengeluar susu lembu berkualiti tinggi terbesar negara apabila ladang tenusu bersepadu seluas 446 hektar di Muadzam Shah dekat sini, memulakan operasinya bulan ini.Operasi ladang tenusu yang menelan belanja RM50 juta itu dijalankan sebuah syarikat ternakan tempatan, First Dairy Farm (M) Sdn. Bhd. (FIDAF).Pengerusi FIDAF, Datuk Wan Abdullah Wan Salleh berkata, syarikatnya yang mendapat bekalan lembu baka Jersey dari 20 ladang ternakan di Australia itu dijangka mampu menghasilkan lebih 8 juta liter susu lembu pada tahun ini.

Dalam menghasilkan kualiti susu lembu yang tinggi, kata beliau, pihaknya menggunakan teknologi yang dibawa dari Australia dan New Zealand.‘‘Projek ternakan lembu susu ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Muadzam Shah sebagai kawasan ternakan dalam Projek Wilayah Pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER),’’ katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan kemasukan pertama 284 ekor lembu tenusu baka Jersey dari Australia di ladang FIDAF di Muadzam Shah dekat sini semalam.Hadir sama menyaksikan kemasukan lembu-lembu tersebut, Pengarah Urusan FIDAF, S. Muhd. Alwi Abdullah.Wan Abdullah memberitahu, projek tersebut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri yang bersetuju memajak tapak ternakan lembu susu itu selama 50 tahun.

‘‘Kita juga memohon kawasan tambahan seluas 400 hektar lagi bagi memperbesarkan lagi projek ini pada masa akan datang,” katanya.Menurut beliau, pihaknya mensasarkan sebanyak 1,200 ekor lembu akan diternak di ladang berkenaan menjelang hujung tahun ini berbanding 284 ekor pada masa ini.

‘‘FIDAF akan mengeluarkan susu segar dengan menggunakan jenama tersendiri selain menjadi pembekal kepada beberapa syarikat pengeluar susu segar di negara ini,” katanya.Menurutnya, kesemua lembu berkenaan ditempatkan di dalam kandang tertutup berhawa dingin supaya menyamai cuaca di Australia atau New Zealand bagi memastikan susu yang dihasilkan berkualiti tinggi.‘‘Ini merupakan teknologi pertama yang wujud di negara ini dengan lembu diletakkan di kandang tertutup yang dikawal secara automatik.‘‘Kita juga boleh memantau pergerakan lembu-lembu terbabit menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kandang-kandang berkenaan,” jelasnya.

4)      Kejayaan Yap Dalam Perladangan Tenusu

KENINGAU, 6 Jun (Bernama) — Sesiapa yang berkunjung ke ladang ternakan dan tenusu kepunyaan Yap Yun Fook di Keningau akan pada mulanya agak kecewa bila mereka tidak dapat melihat apa-apa aktiviti penternakan di situ.Mereka akan hanya melihat sebuah banglo yang tersergam indah dan besar milik Yap.Hanya selepas melewati banglo ini, barulah para pelawat akan menjumpai tanda-tanda aktiviti penternakan dan tenusu seperti sebuah rumah penyembelihan serta sebuah kemudahan memproses makanan ternakan.Ladang ternak serta tenusu yang seluas 40 hektar itu terletak di Kampung Ansip Lama, sejauh 15 km dari sini.

Ia merupakan antara ladang seumpama itu yang terbesar di negara ini.
Ketika ini, ladang ternakan kepunyaan Yap mempunyai 1,600 ekor lembu dan dapat mengeluarkan sehingga satu juta liter susu lembu setahun atau 11 peratus daripada pengeluaran susu lembu segar Sabah.Peladang jutawan ini juga mempunyai 600 ekor rusa serta 200 ekor burung unta yang diternak di sebuah ladang yang lain yang turut juga didiami ibu bapa beliau.






5)      Kementerian Guna Pakar Africa Biak Boer, Lembu

KLUANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menggunakan kepakaran Afrika Selatan untuk membantu memperhebatkan pembiakan baka lembu dan kambing boer yang kini menjadi projek ternakan nasional dalam usaha meningkatkan pengeluaran daging negara. Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata teknologi pembiakan paling canggih di dunia itu akan membabitkan pakar dari Persatuan Penternak Kambing Boer Afrika Selatan untuk menjalankan projek penyelidikan di Pusat Embrio Haiwan Nasional (NAEC) di Stesen Mardi, di sini. Beliau berkata, dengan kepakaran serta penggunaan teknologi terkini, pengeluaran baka lembu dan kambing boer dari NAEC dijangka dapat memenuhi permintaan untuk projek ternakan berskala besar di seluruh negara.

6)      Ternakan cacing kompos

Utk makluman Cacing Harimau (Tiger Worm / Eisenia Foetida) adalah salah-satu species cacing yg tergolong didlm kumpulan cacing kompos / pengomposan. Selain itu beberapa spesies yg sesuai digunapakai utk industri Vermikultur / Vermikompos dlm keadaan negara Malaysia termasuk:

1. Cacing Merah (Red Worm / Lumbricus Rubellus).
2. African Nightcrawlers / Eudrillus Eugeniae.
4. Pheretima Elongata.
5. Cacing Biru (Blue Worm / Perionyx Excavatus).

Setiap satu spesies di atas ada kebaikan / kelemahan yg perlu diambilkira bergantung atas objektif sebenar masing2.

7)      Ternakan Ikan Ketutu

ALOR GAJAH 25 Sept. – Sebanyak 50 kolam ternakan ikan air tawar sekitar Felda Tun Abdul Ghafar, Bukit Senggeh, Nyalas di sini akan dimajukan dengan ternakan ikan ketutu.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, R. Perumal berkata, ternakan ikan ketutu dilihat mampu menjanjikan pulang lumayan.

Menurut beliau, peneroka di Felda Tun Abdul Ghafar yang mengusahakan ternakan ikan air tawar wajar bertukar kepada ternakan ikan ketutu berbanding ikan talapia merah yang diusahakan sekarang.

Katanya, ikan talapia merah hanya dijual dengan harga RM4 sekilogram sedangkan ketutu boleh mencecah RM50 sekilogram.“Saya dimaklumkan harga pasaran semasa ikan ketutu untuk sekilogram boleh mencecah antara RM30 hingga RM50 dan di samping itu ia boleh dieksport ke luar negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri berkata, ikan ketutu mempunyai permintaan yang tinggi dari Singapura, Taiwan dan Hong Kong.‘‘Melihat potensi besar ikan ketutu untuk pasaran tempatan dan luar negara saya yakin penternakan ikan ini akan dapat menjanjikan pendapatan cukup lumayan,” katanya.Perumal menambah, harga seekor ikan ketutu yang siap dimasak di restoran-restoran pula boleh mencecah sehingga RM120.Sehubungan itu katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat akuakultur di Sungai Tiang untuk melaksanakan ternakan itu secara konsep mentor-mente.Syarikat tersebut kata Perumal, telah berjaya mengeksport ikan ketutu ke negara pengimport melalui ternakan ikan ketutu di empat buah kolam seluas 1.6 hektar yang diusahakannya.“Saya yakin, jika ia berjaya dilaksanakan, ia akan menjadi sumber pendapatan baru sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk di Nyalas,” katanya

8)      Arowana Bukit Merah

TERNAKAN ikan arowana merupakan industri ikan hiasan yang semakin berkembang pesat di sekitar kawasan Bukit Merah, Perak. Terdapat banyak syarikat yang mula berjinak-jinak menternak arowana – antara ikan hiasan paling mahal di dunia. Antara sebuah syarikat bumiputera yang menjalankan operasi menternak dan membiak ikan arowana adalah M U Arowana Aquaculture berhampiran Bukit Merah, Perak.Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sahibol Anwar Arba’e berkata semuanya bermula dengan minat terhadap ikan hiasan paling mahal di dunia itu.“Ketika itu saya mula membeli ikan arowana gold dengan harga RM2,000 seekor dan selepas beberapa bulan nilainya meningkat sehingga RM7,000 seekor. “Pada masa itu saya menyedari ternakan ikan hiasan arowana berpotensi besar untuk dimajukan selain menguntungkan,” katanya yang sebelum ini banyak menceburkan diri dalam perlbagai jenis perniagaan.

Mengkaji mengenai habitat arowana pada awal 2006, Sahibol memulakan projek ternakan dengan membina lapan buah kolam dengan keluasan 20 kaki x 50 kaki.

Pada pertengahan tahun yang sama, beliau mula mengisi setiap kolam dengan enam ekor ikan jantan dan 10 betina.Ikan arowana bertelur setahun sekali selepas usia matang biasanya antara dua hingga tiga tahun dan semasa proses berkenaan ikan akan berpasangan sehingga masa mengeluarkan telur dan sperma.Telur yang telah disenyawakan akan dikutip oleh ikan jantan yang akan mengeram selama dua bulan di dalam mulut sebelum diluahkan apabila anak-anak mula berenang sendiri.

“Dalam tempoh berkenaan, ikan jantan akan ‘berpuasa’ sehingga anak-anak dilepaskan pada tempat-tempat berlainan bagi mengurangkan risiko pemangsa,” katanya.Bagaimanapun bagi tujuan komersial, mulut ikan akan diperiksa setiap dua bulan bagi mengeluarkan anak-anak dan diletakkan di dalam inkubator yang lebih kurang sama keadaannya seperti dalam mulut induk.Biasanya induk jantan boleh menjaga antara 20 hingga 60 ekor anak di dalam mulutnya pada satu-satu masa.

Sahibol berkata, bagi pasaran tempatan anak-anak ikan yang boleh berenang sudah boleh dijual.

M U Arowana Aquaculture memberikan penekanan dalam menternak tiga jenis arowana iaitu Malaysia gold arowana, red arowana dari Kalimantan dan Indonesia gold.
Harga seekor anak ikan arowana bersaiz tiga inci iaitu Malaysia red gold adalah RM1,600 hingga RM2,000, red arowana RM1,200 hingga RM1,500 dan Indonesia gold adalah RM500.Harga seekor induk matang boleh mencapai sehingga puluhan ribu ringgit. Menyentuh mengenai aspek pemakanan, Sahibol berkata, arowana memakan anak ikan seluang selain makanan tambahan seperti udang, cengkerik, katak dan lipan dua kali sehari. “Ikan arowana sebenarnya tidak sukar dijaga tetapi disebabkan harganya yang mahal, ramai yang menyangka ia memerlukan penjagaan yang rapi,” katanya.

“Ikan arowana amat unik dibanding dengan ikan-ikan hiasan lain kerana ia membiak secara semula jadi dan tidak memerlukan bantuan manusia seperti teknik aruhan. “Malah ikan arowana adalah haiwan akuatik yang dilindungi kerana mengalami ancaman kepupusan,” katanya. Sehingga kini M U Arowana Aquaculture beroperasi di atas tanah seluas 5.2 hektar (13 ekar) yang menempatkan 99 buah kolam.

Sahibol berkata, pihaknya mensasarkan untuk membina 100 kolam lagi pada tahun ini.
“Kami juga menitikberatkan masalah keselamatan dan penyelenggaraan dengan pemantauan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. “Ini bukan saja untuk tujuan keselamatan kerana harga ikan yang mahal tetapi bagi memastikan keselesaan ikan jika bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba,” katanya.

Apa yang lebih menarik M U Arowana Aquaculture juga menawarkan skim perkongsian keuntungan bagi peminat ikan arowana yang mempunyai modal tetapi kurang pengetahuan.“Di sini, mereka boleh melabur selama lima tahun dengan membeli ikan induk untuk satu kolam dan kami akan menjalankan segala tugas penyelenggaraan dan pengurusan.“Keuntungan yang diperoleh akan dibahagi dua antara pelabur dan pengusaha sehingga tamat tempoh kontrak,” katanya.

Bercerita mengenai arowana, kata Sahibol, ikan ini hanya bertelur setahun sekali dan tiada masalah bekalan berlebihan dan harganya tidak pernah jatuh.Memandangkan permintaan yang tinggi dari negara-negara seperti Jepun, China, Taiwan, Kanada, Hong Kong, Eropah dan India, pengeksport perlu mendapat kelulusan Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) yang diluluskan oleh 72 negara.

Di bawah CITES, ikan arowana disenaraikan sebagai ikan yang dilindungi berkelas tinggi dan perlu ditanam cip di bawah kulit untuk tujuan eksport bagi pengenalan.Sahibol berkata, kajian menunjukkan arowana adalah spesies ikan yang primitif dari zaman Jurassic. Fosilnya membuktikan ikan berkenaan tahan lasak sehingga boleh hidup dengan baik sehingga ke hari ini.

9)      Rumput Ternakan Bawa Pulangan

KUALA KANGSAR 2 Julai - Keberanian seorang bekas ketua kampung, Mustafa Ahmad, 41, memajukan tanah terbiar seluas 4.5 hektar dengan tanaman rumput jenis Napier Taiwan kini mula berbaloi dan membuahkan hasil lumayan. Walaupun tanah yang terletak di 'pulau jadian' di Sungai Perak di Kampung Senawar itu mengandungi 80 peratus pasir, tetapi ia tidak menghalang hasrat menebal usahawan ini untuk menjadikannya sebagai sebuah ladang yang subur. Berbekalkan keyakinan tinggi terutama sekali selepas melupakan dunia kontraktor kelas F, beliau mengikuti pelbagai kursus pertanian dan haiwan termasuk tanaman rumput ini.

 Menurut Mustafa, rumput Napier Taiwan yang diusahakan sejak empat tahun lalu itu menunjukkan hasil memberangsangkan kerana tumbuhan itu cepat membesar dan boleh dituai dalam masa 30 hingga 40 hari sahaja. Kata beliau, tanaman kontan berkenaan telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuala Kangsar bagi tujuan penghasilan makanan binatang ternakan. ''Dengan menggunakan teknologi Thailand serta baja berprotein tinggi, saya berjaya menghasilkan rumput Napier yang mempunyai daun selebar 2.5 sentimeter walaupun saiz biasa cuma 1.5 sentimeter.

''Melihat hasil tanaman yang begitu subur ini saya rasa cukup puas kerana pengorbanan menumpukan usaha ini sudah mula membawa pulangan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin. Mustafa memberitahu, tanaman berkenaan kini sudah mula dijual di pasaran yang semakin meluas dengan batangnya dijual pada harga RM1.60 sekilogram dan daun hijaunya berharga 10 sen sekilogram. Menurutnya, dengan harga tersebut beliau kini boleh tersenyum lebar apabila sudah mampu memperoleh pendapatan sekitar RM12,000 sebulan.

10)  Pembenihan Ikan Keli Teknik Aruhan

Bak kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, begitulah dengan usahawan muda yang baru ‘bertatih’ ini. Walaupun baru enam bulan bergiat dalam industri pembenihan ikan air tawar - keli dan tilapia, Shahrul Redzuan Abd. Majid, 26, boleh digelar usahawan berjaya.

Selepas menghadiri kursus anjuran lebih enam bulan lalu, usahawan muda berkenaan tidak menoleh ke belakang lagi. Berbekalkan pengalaman menjual telefon bimbit di salah sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur selama lebih dua tahun, Shahrul berubah arah kepada ternakan ikan air tawar - keli dan tilapia di atas tanah kerajaan di Gombak, Selangor. “Ketika itu pendapatan hasil ternakan ikan memang menggalakkan tetapi ada kalanya saya sukar mendapatkan bekalan benih. “Kadang-kadang saya terpaksa membiarkan kolam kosong selepas ikan habis dituai kerana putus bekalan benih,” katanya semasa ditemui di tapak pembenihan ikan air tawarnya di tanah seluas satu ekar di Telok Gong, Pandamaran, Kelang, Selangor.